Rabu, 27 April 2011

panas

Seminggu dua ni cuaca panas semacam. Kalo mandi tu rasa macam takmo sudah. Air pun tak terasa tercurah kat badan. Keluar bilik air terasa bahang. Kalo sebelum ni, hujan je memanjang... nak masuk bilik air tu pun malas je rasanya. Sejukkk. Mandi siap pakai water heater. Sekarang ni pulak apa ke jadahnya nak pakai water heater. Air dah panas semulajadi. Kekadang tu, balik keje nak basuh tangan kat sinki dapur tu, terkejut aku (nasib baik bukan jenis melatah). Macam air baru setengah jam didih jirus kat tangan tapi tidak le sampai melecur, kan....Nampak ngat menipunye nanti... hehehe

Sedar atau tidak, cuaca panas ni pun bagi rezeki melimpah ruah pada peniaga terutamanya, si ane yang jual ais krim kat tepi pagar sekolah anak-anak aku tu. Aku tengok sorang beli 2,3 batang sekali jalan. Kiri kanan tangan pegang ais krim. Tu ha, kat depan pasaraya Tunas Manja dekat ngan kawasan perumahan aku tu, mamak jual abc ngan cendol tak menang tangan. Tetibe ramai lak customer. Siap kena beratur lagi (nasib baik tak kena ambik no giliran). Yang paling masyukkkkk..... tokeh2 jual air batu la, kan... Aku pun tak terkecuali jadi salah sorang yang menguntungkan para peniaga di atas. Kekadang terlanggar jugak pantang minum ais nih... hehehehe..

Sekarang ni, petang-petang balik keje tu, nak masuk kete..... bercinta rasanya. Al-maklum je la, kuli-kuli batak ni mana ada tempat parking berbumbung... berbumbungkan langit tu ada la. Bayang aje la seharian kete tu berjemur dalam panas terik. Cermin tutup penuh lak tu. Nak tutup separuh, takmo ambik risiko. Alangkah cermin cinonit yang aku letak kat cermin sisi tu pun ada yang berkenan (kalo tidak, xde la kena cabut, kan..).. inikan pulak nak bagi jalan mudah kat 'Mac Gyver'2 kat luar tu menjalankan 'aktiviti tak berapa nak sihat' diorang.
Berbalik pada cite masuk kete tadi, iskh... rasa macam gi slimming centre foc. Berpeluh-peluh macam duduk dalam hot blanket, takpun rasa macam duduk dalam bilik sauna kat pusat SPA. Hmm... agak-agak la kan, lemak yang terkumpul boleh ke cair gitu, ek..? ...hehehe

Khamis, 21 April 2011

Puasa

Hari ni aku puasa lagi.......bukan puasa ganti tapi puasa sunat. Aku ingat aku nak buat balik macam zaman2 bujang dulu. Aku rajin tul buat puasa sunat Isnin & Khamis masa tu. Banyak kelebihannya. Dapat pahala dan dapat jugak jaga diet. Al-maklum ajelah, aku ni kalo bab makan, takkan tolak punya......hehehe. Tengok body la kan.
Banyak tul dugaannya bila kita puasa bukan dalam bulan puasa. Apa taknya, kita sorang je yang dok menahan lapar & dahaga. Orang lain lak dengan penuh berseleranya menikmati makanan depan kita. Macam hari ni, rakan2 sekerja boleh bawak buah jambu merah yang comel2 tu (ala, aku tak tau la nama dia apa). Diorang dok makan colek ngan kicap......taruk gula sikit, cili api sikit...perrrrgggghhhh. Yang hampeh, sesaje je diorang tunjuk2 kat aku. Menggugat keimanan sungguh. Kecur gak air liur tapi, sabor, sabor....

Pastu tengahari lak ada program 'Lunch Talk' ( macam promosi ubat2 dari syarikat luar & diorang akan sediakan lunch sebab diorang ambik masa lunch kitorang). Bertambah tergugat keimanan aku bila 5,6 0rang member2 dok menjamu selera depan aku, apatah lagi lobang hidungku yang tak mancung tapi tak kembang jugak, menghidu aroma sambal belacan yang cukup menggoda (my paberet tu......). Tapi bila di pikir2, elok jugak aku puasa tadi, kalo tak.......sure lah dah berpinggan-pinggan aku tambah nasi tadi. Maka makin bertingkat2 lah apartment lemak di badan aku ni....hehehe
Aku nak ucap time kasih kat sorang kakak radicare yg prihatin dengan aku ni. Aku panggil dia 'Mak Kiah'. Dia tau aku ni memang hantu sambal belacan so dia tapaukan aku sikit sambal belacan tu (err.....sikit ker??).

Balik keje tadi sepanjang jalan aku dok teringatkan sambal belacan tu. Lepas ambik anak aku balik sekolah petang tadi, aku singgah kat restoran area rumah aku ni. Beli kuew teau goreng tak mau sayur untuk anak2 aku. Aku lak dah tak tau nak berbuka ngan apa. At last aku beli roti kat kedai sebelah. Sampai rumah sedang elok je orang azan Maghrib. Dan aku cuma berbuka dengan roti putih Gardenia cicah ngan sambal belacan tu.....huhuhu

Ahad, 17 April 2011

birthday 2011

Syukur pada Allah swt sebab masih bagi peluang kat aku terus menikmati hidup tika dan saat ini. Syukur juga sebab masih diberi peluang untuk memperbaiki apa yang kurang. Membetulkan apa yang silap.

Hmm....sudah mencecah angka 36 rupanya aku. Terasa baru semalam, aku masih lagi terkinje-kinje bersama teman2 sekolah di dorm asrama SMDB tu...hehehe. Tua sudahhhh....anak pun dah tiga. Nak tambah lagi?...err, kena pikir 4,5 kali pasal risiko beranak umur dah banyak ni....huhuhu


Kebetulannya, aku dan anak keduaku, Wan Amir, berkongsi hari lahir. Dah tau dah hadiah apa yang dia nak. Kete kontrol la...apa lagi. Itu la yg dia mintak setiap kali hari lahir. Tapi sekarang ni, si adik, Wan Ammar dah besar. Dah pandai berebut. Usahkan mainan, nak tiup lilin pun berebut dengan abang ngan kakak. So, moral of the story....kena la beli 2 set....(aduyai...paham2 ajelah tengah2 bulan lak ni...huhuhu). Tapi takpe demi kegembiraan anak2.


Masa besdei si kakak, 06/04/2011 yg lepas, jenuh gak aku nak mikir nak kasi hadiah ape la kat anak dara aku sorang ni. Teddy bear?...dah penuh kat katil dia. Mainan?...rasanya dengan umur 10 tahun tu, dah tak sesuai nak main mainan lagi. Notebook pun ayah dia dah kasi last year. Kebetulan besdei dia jatuh pada hari bekerja, lagi la tak sempat aku nak sedia apa2. Then, aku terpikir lak yang dia suka menulis & suka simpan duit belanja. Tiba2 je idea datang. Belikan dia sebuah diari & tabung....hehehe. Harap-harap dia tak tulis yang aku suka membebel sepanjang hari dalam diari tu......;p


Dan gambar jubah kat atas ni.......hadiah dari anak dara tunggal aku untuk ibunya (aku la tu). Rasa terharu sebab susah payah dia kumpul duit belanja, nak beli hadiah kat aku. Patutlah dia ada tanya aku pasal apa aku suka pakai baju panjang (jubah). Aku jawab yang aku dah tua, kena la pakai baju gini....hehehe. Dia kata dia kirim ngan kawan beli kat pasaraya. Tah berapa hinggit la budak ni habis duit dia. Dia bagitau kat aku dalam RM20 jer. Aku tak kisah la baju ni baju murah, aku pun tak kisah kain dia takde kualiti......yang penting terlalu mahal kasih sayang anak-anak terhadap aku dan aku bangga ngan kualiti zuriat aku yang ingat pada ibunya. Lagipun, apa la budak umur 10 tahun tahu pasal nilai & kualiti baju...kan.....

"Buat anakanda Wan Nursabrina, terima kasih ibu ucapkan. Ibu akan pakai baju ni nanti tapi ibu kena hantar kedai dulu untuk kecikkan sikit sebab besar sangat.....;-)"

Khamis, 14 April 2011

Awan

Mula-mula dengar lagu Awan Nano nyanyian Hafiz AF (sori la, tak ingat la AF yg ke berapa pasal tak ikuti sesangat), rasa macam boring je lagu mamat ni. Tapi bila dah makin hari makin rancak lak lagu tu berkumandang di radio. Macam best lak. Bila 1st time aku tengok dia punya video clip kt @15 Astro tu, baru la aku paham maksud yang tersirat.

Dan hari ini, aku sendiri merasakan yang aku juga seperti awan dalam lagu tu. Selalu nak tolong orang-orang yang aku sayang walaupun aku sendiri sedar yang sebesar zarah pun diorang takkan hargai dan pandang. Tolong aku ikhlas hati atas rasa kasih dan sayang. Cuma sesekali rasa terkilan juga jauh disudut hati bila niat suci aku, selalu disalah tafsirkan (sedey la pulak).
Takpe2, biarlah aku terus jadi awan.... selagi termampu, aku akan terus payungi mereka2 yang aku sayang dari bahang panas sinaran terik sang mentari. Selagi terdaya, aku akan turunkan hujan rahmat membasahi kehidupan mereka2 tatkala musim kemarau tiba....




Ahad, 10 April 2011

boring..

Seperti minggu2 sebelumnya, setiap cuti hari minggu dihabiskan dengan bertapa dalam rumah. Mendalami ilmu2 yang membesarkan badan......tido dan makan...hehehe. Aku ni benarnya bukan jenis yang suka gi jenjalan....... gi shopping suka la tapi kalo bawak anak2, rentikanlah niat nak shopping tu. Aku lebih suka lepak2 kat umah ni tapi bila takde teman nak bersembang, tak best jugak. Maklum ajelah, hobi aku ni bercakap. Padan la dengan gelaran nakal my siblings kasi kat aku..."angah murai". Nasib baik la nama 'Murai.com" dah digunakan, kalo tak, aku nak rename blog aku ni dengan nama tu....hehehehe.
Cite kat tv tu pun takde yang memberangsangkan langsung. Astro?..buang karan. Asyik dok tayang cite tule. Sampai kekadang dah boleh hafal skrip para pelakon tu. Tapi kalo tak langgan pun tak leh jugak pasal kat area umah aku ni, kalo tak pasang Astro....alamatnya setiap kali nak tukar channel, kena adjust dia punya aerial sekali. Apa taknya, kalo tak buat gitu, hmm...setiap cite kat tv tu semua ada effect ala2 hujan gitu.

'mengintai dari tirai kamar'.......

Anak2?...hmm, biasa la....ater rumah depan padang. Asal kul 5pm je, masing2 buat muka kesian bila nak mintak izin main kat luar. Tengok cuaca ok, aku lepaslah diorang dari sangkar batu ni. Ye la.. sian gak kat bebudak. Meleleh air liur dok nengok member2 berlari2an kat padang tu ha. Sesekali aku 'mengintai dari tirai kamar' gak la bebudak tu. Actually, aku bukan tak nak kasi diorang main kat luar tu, tapi sedikit bimbang akan keselamatan putera2 & puteri aku tu. Maklum je la zaman sekarang ni, depan pagar rumah pun boleh lagi disambar dek orang yang takde hati perut. Lebih2 lagi duduk kat kawasan bandar ni. Aku tak nak ambik risiko. Mintak jauh lah..


Khamis, 7 April 2011

menurun tabiat

Dulu aku selalu 'mengata' perihal tabiat arwah mak aku yang satu tu tapi sekarang dah menurun kat aku pulak. Tak tahu sejak bila aku boleh terikut tabiat arwah mak aku yang satu nih. Macamana aku boleh tak perasan ni....... hmm...mungkinkah faktor genetik, atau....... balasan sebab dulu ngata kat arwah. aha....maksud 'ngata' yang aku taip jap tadi bukan ngumpat tau....aku sendiri tak reti nak translate. Kata yang cakap depan-depan punya (ala...macam ayat ni ....."kau ni kata aku kuat makan tapi kau pun sama"...)...korang paham, kan...;p
koleksi milo


macam-macam ada....;-)

Mesti korang nak tau tabiat apa yang aku maksudkan. Tabiat tu bukan la tabiat tak elok tapi kekadang tabiat tu macam kelakar la pulak. Ce korang teka. Alaaaaa...teka la, teka la......tettt...masa dah tamat... hehehehe....(kalau korang tengok betul-betul gambar kat atas perenggan ni, mesti korang boleh agak). Actually, tabiat yang aku maksudkan, suka beli barang yang ada 'barang percuma'. Contohnya (weh...ade contoh2 la pulak...;p) sabun A lebih mahal dari sabun B tapi sabun A tu ada percuma barang C. Macam dah di programkan dalam kepala otak aku ni, tangan aku dengan automatiknya akan ambik yang A tu masuk dalam troli.
Bukannya aku tak tahu yang kekadang diorang dah campur sekali harga barang C tu dalam tanda harga sabun A tu ha. Maklum aje la, aku dulu kelas aliran PERDAGANGAN (zaman sekarang diorang pakai nama PENGURUSAN PERNIAGAAN). Tau jugak la strategi perniagaan ni walau sikit pun. Hidup-hidup je kena tipu (tapi memang orang tipu orang hidup je kan...;p). Tak kisah la tu, asalkan aku bahagia..... aku jadi syok lak tengok pinggan mangkuk ada cop nama sabun, ubat gigi dan sewaktu dengannya.....

the latest...hehehe

Isnin, 4 April 2011

penat la..

Tah nape hari ni aku rase penat sangat. Mungkin sebab cuaca panas atau mungkin sebab terlalu bosan suasana di seminar tadi. Majoriti penceramah bercakap dengan diri sendiri. Kenkadang, tak dengar apa diorang cakap. Macam syok sendiri. Hmm....apa kaitan bosan kat seminar tu dengan penat, ye tak..... Ye la, dah boring giler....mata mengantuk yang amat tapi kena kontrol diri supaya tidak tertido.... Aku rasa kejam lak kalo tertido. Itu yang buat penat tu, (penat menahan mengantuk) Rasa sian lak kat para penceramah yang syok sendiri tu (wah bangga la pasal aku masih punya perasan...hehehe). Aku ingat la kan...para penceramah tu yang patutnya di hantar seminar....."cara memberi ceramah yang berkesan".

Balik ceramah tadi, aku bergegas nak ambik anak-anak kat taska. Alahai.... pehal la aku gi parking jauh no dari UIAM tu. Penat aku menapak sensorang. Dah la tu, nak kuar dari tempat parking pun satu hal. Kena nunggu sebiji kete proton tu nak kuar parking dia tapi tak leh pasal ada driver teksi yang bengong dan tara pakai otak, main parking je ikut suka hati tok moyang dia. Pintu kete teksi tu ngan bontot kete proton tu ada la sedepa, becinta la aku nak nunggu dia dok kedepan kebelakang meng'adjust' kete dia nak kuar. Mamat yang dok tolong empunya proton tu pasan muka aku macam dah bengang (actually bukan macam lagi dah.....memang bengang pun), at last dia suruh aku jalan dulu. Sambil lalu, mulut aku ni menyumpah tak abis kat teksi tu pasal aku nak lalu pun payah. Jenuh lak aku meng'adjust' kete manual aku ni pulak. Nak ngundur lelebih tak leh pasal kat belakang aku pun kete2 lain dah berduyun tiba. Penat nunggu. Tak pasti la aku samada aku tercalarkan teksi tu pasal rapat sangat. tapi, aku peduli apa teksi dia tercalar kena kete aku pasal kete aku pun memang dah penuh calar-balar....huhuhu

Jumaat, 1 April 2011

5s

Demam 5s melanda Jabatan Farmasi HTAA. Sisih, Susun, Sapu, Seragam & Sentiasa amal. Orang-orang Jepun yang create sistem ni. Aku akui yang sistem ni dapat membantu kerja-kerja di pejabat menjadi lebih lancar. Semua benda @ peralatan mesti di tag nama dan ada tempat 'parking'. Senang cari senang simpan.
Minggu ni, minggu 1st audit 5s untuk jabatan farmasi. Susah juga masa nak start buat projek ni. Ye la pasal kitorang sebelum ni tak pernah pun dihantar kursus 5s ni. Tak tahu apa kriteria yang diorang nak. Nak buat penyusunan semula ubat-ubat pun satu hal jugak pasal ruang kerja terhad. Maklum saje lah, jumlah semua item ubat yang ada pun hampir 600 jenis.

hmmmm......tersenyum lebar jugak aku & partners tatkala bilik kitorang bekerja diberikan 3 tag Cemerlang. Suke tau. Thanks pada pengaudit 5s. Usaha aku & partners tak sia-sia selama 3 bulan ni. Walaupun kekadang kitorang terkejar-kejar buat semua ni di samping nak kejar buat kerja hakiki lagi. Berbaloi. Harap-harap apa yang kitorang buat ni akan selalu diamalkan oleh penganti seterusnya (kerja aku ni 'rotate', 3 bulan sekali tukar ke bahagian lain lak)

terbahagi kpd 3 zon (TULIP/ROSE/SUNFLOWER)

hahaha... tak tau sape punye idea ni...macam taska lak..

tempat aku menulis...hmm..seme benda nak kena tag & ade tempat 'parking'

Actually, bukan nama bukan pujian yang aku nak. Aku memang suka tengok benda-benda yang cantik. Suke keje kalo tempat keje tu cantik, bersih, kemas...sejuk mate memandang. Baru seronok nak mulakan keje. Ye la, kalo gi keje tengok tempat keje macam tongkang pecah....mood nak keje pun boleh spoil, kan.....

radio zaman-berzaman yang disorokkan ke 'veteran' nyer...hehehe

Apa-apa pun, ini baru audit 5s yang ala-ala 'rehearsal'. Yang betul-betul punya nanti...hmm.. hujung bulan ni kot... kalau tak maintain, bukan salah kitorang la kan pasal kitorang dah ditempatkan ke unit yang lain pulak..

Selasa, 29 Mac 2011

Ammar lagi..

Petang semalam aku jadi panik kejap bila anak aku yg bongsu (buat masa ni...hehehe) menangis dalam kereta masa aku tengah drive dari taska ke sekolah, nak ambik anak2 aku yg lain. Memang biasa la si cengeng ni menangis, tapi petang tu kedengarannya pelik sikit. Selalunya aku pekakkan telinga aje tapi tetiba mata aku terpandang dia kat dalam cermin pandang belakang tu. Mulut penuh darah. Arrrgghhh....apa pula kali ni...

Tisu....sakit hati betul, time nak guna, time tu lak dia takde. Mujur teringat pada tuala anak kat dalam beg taska dia tu. Tibai je la. Aku mula rasa tak sedap hati. Pehal pulak budak ni. Sebelum ni asyik berdarah hidung. La ni mulut pulak. Aku teringat lak dalam dua tiga hari sebelum tu, dia pernah mengadu yang dia sakit mulut, tapi aku tak ambik pot pun...ala, ingatkan dia nak manja-manja ngan ibu, malas la nak layan.
Malam tu jugak, lepas antar si kakak tuisyen kat rumah cikgu dia, aku pun terus bawak Ammar ke klinik yang biasa aku pergi. Aduh, payah betul parking....hujan lak tu. Selepas 4,5 kali tawaf, aku pun naik fed up, bantai je parking kat tepi stesen minyak tu. Aku turun jap gi daftar anak. Aku tengok dalam klinik tu punya la ramai umat, tempat duduk ade la seciput. Aku pun tanya kat adik yang jaga kaunter tu.."lambat lagi ke dik?"... tengok dalam klinik tu pun aku dah tau pun jawapannya. Aku pun bagitau minah tu yang aku tunggu kat luar. Aku nunggu dalam kereta, sesambil ngajo si abang buat homework. Si abang tu kalau nak tunggu balik rumah baru nak ngadap homework, hmm... alamatnya esok pagi belum tentu siap. Lebih kurang sejam aku duduk dalam kereta tu, aku pun bawak si adik masuk ke dalam klinik. Aku tanya kat minah tadi samada nama anak aku dah di panggil ke belum. Dia cakap nanti dia check sebab dia rasa macam dah panggil. So aku pun duduk. Aku tengok ada pesakit keluar dari bilik doktor, aku ingatkan dia terus nak panggil kami masuk, tapi hampeh. Pas sorang2 pesakit lain yang dia panggil. Yg buat aku baran tu, pesakit2 yang dia panggil tu datang kemudian dari aku. Agak2 dah setengah jam aku nunggu, aku pun pegi balik kat minah tu dan tanya balik kat dia soalan tadi. Boleh minah tu jawab, "tadi panggil akak takde, nanti lepas patient yg last tu akak masuk".. hangin betul aku. Aku dah tak pandang kiri kanan dah... aku tengking kat budak tu, "kan aku dah bagitau yang aku tunggu kat luar, enko pekak ke? Dah dekat 2 jam aku tunggu, dah..cancel..byk lagi klinik lain aku boleh pegi!!!".. aku pun blah. Lepas masuk dalam kereta, aku tarik nafas dalam-dalam. Sian lak kat minah tu, terkulat2 muka dia tadi. Tak leh salah kan aku, aku penat weh, balik keje nak terkejar sana-sini, makan pun tak sempat... kalo korang di tempat aku, mesti hangin jugak bila kena gitu.

Jam dah dekat 10pm. Nasib baik aku sempat kejar klinik yang satu ni. Doktor tu pun tak dapat nak pastikan apa kena dengan si Ammar ni. Dia syorkan aku bawak Ammar buat ujian darah kat spital nanti.
Pagi tadi masa aku kejutkan Ammar masa nak keluar rumah, aduhhh...sekali lagi penuh darah kat mulut dia. Aku decide nak ambik 'off petang' hari ni nak bawak dia jumpa doktor pakar. Macam biasalah, pagi aku tinggalkan dia kat taska dulu tapi aku dah pesan kat owner taska tu kalo nampak benda yang pelik pada Ammar, aku suruh dia terus call aku. Masa tengah kerja tu, akak tu call. Bagitau mulut Ammar masih berdarah. Dia dah tengok tapi takde apa2 kesan luka tapi dia kata gusi Ammar merah. Dia cadangkan aku bawak Ammar jumpa dentist. Mula la aku dalam dilema......specialist @ dentist???

Petang tadi soalan aku dah terjawab. Boleh tarik nafas lega. Bawak Ammar jumpa dentist. Nasib baik Ammar ni jenis suka jumpa doktor. Tak menangis dan tak tunjuk rasa takut pun. Elok je dia duduk atas kerusi tu. Dentist tu kata, gusi Ammar ada infection. Gusi keliling semua bengkak. Punca??.....err...gosok gigi tak bersih...(nak buat camner, dia taknak aku gosokkan). Apa2pun hujung minggu ni dah buat appointment dengan dentist tu nak buat teeth scaling untuk Ammar lepas complete kan dia punya antibiotik 4 hari untuk kurangkan radang.... harap2 dia tak meronta2 nanti.......;p

Rabu, 9 Mac 2011

update blog

As Salam.

Tahun 2011 ni, semakin lama semakin jarang aku meng'update' blog ni. Macam yang aku maklumkan sebelum ni, bukan takde idea, bukan juga takde cerita nak dikongsikan cuma masa lapang yg aku ada tu , amat2lah ciput. Yang ciput tu la, aku gunakan untuk rehat2kan diri. Paling kerap pun sekadar meng'update' status fb jer. Itupun sebab boleh bukak fb kat hanset. Lagipun meng'update' status fb tak sepanjang cite meng'update' blog, kan... err...takkan nak update guna hanset lak... acer giler nak taip panjang2 kat skrin yg kecik tuh..!

Tahun ni aku rasa penat la sikit berbanding tahun lepas, pasal tahun ni anak aku sorang sesi pagi, dan sorang sesi petang. Yang sesi pagi tu kang, pas balik sekolah dah nak terkejar lak nganto dia pi tuisyen. Kalo takde tuisyen kang, ada lak ko-kurikulum kat sekolah. Kelab itu la, kelab ini la. Persatuan itu, persatuan ini. Iskh..... ngalahkan bini2 menteri la pulak. Kadang2 tu terpaksa ngulor la jap nak nganto anak sana sini. Nak ambik cuti, tak berbaloi la setakat nak kuar dalam 15minit tu. Lainlah kalo diorang kasi cuti rehat 200 hari setahun (boleh gitu...hehehe). Yang menjadikan lama sikit tu, bkn pe.. bila nak cari parking semula kat spital tu. Kompem kena tawaf 2,3 kali baru dapat semula tempat parking. Kalo rasuah tu tak dosa, nak gak aku rasuah pak guard yg jaga parking, tolong standby kan satu lot parking untuk aku...;p
Anak2 pun dah pandai, balik sekolah, jejak je kaki kat dalam rumah....diorang siap dah hafal dialog wajib aku setiap hari. "bawak beg masuk terus dalam rumah, pegi mandi. Pastu makan. Pas makan buat homework. Kul 9 tido!"......(sambil kedua tangan berada di pinggang macam mak mertua Kasim Selamat tu) kekadang tu, aku belum habis cakap lagi, diorang dah tolong complete kan ayat aku tu... bagus punya anak (at least aku tau yg diorang beri perhatian apa ibu dia cakap, kan... hehehe)
Masa diorang buat homework tu, aku lak buat aku punya housework. Sesekali dok jeling ke skrin komputer tu. Tengok kot2 ada pesanan penaja. Abis aku punya housework, baru aku ngadap desktop. Kebetulan lak desktop dok bersebelahan dengan meja study anak2. Kekadang bila idea datang mencurah-curah, acer baru jari jemari aku nak menari rap kat keyboard pc tu.. anak aku datang tunjuk buku... "ibu, macamana nak buat ni? ...ibu, betul tak buat cam gini? ..ibu, macamana nak kira ni? ...bla..bla..bla.." terus terbantut la apa yang aku nak taip pada asal tadi.